MBSF BERJAYA MELAHIRKAN BAKAL JURULATIH SUKAN BOULES YANG BERKEMAHIRAN




KUALA LUMPUR, 26 OKTOBER 2026 – Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MSBF) dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan telah berjaya menganjurkan Kursus Kejurulatihan Tahap 1 Siri 3/2026 selama empat hari, bermula pada 23 hingga 26 Oktober 2026, bertempat di Maluri Hotel, Kuala Lumpur.
Kursus ini telah disertai oleh seramai 34 orang peserta dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada individu yang berminat untuk mendalami ilmu kejurulatihan serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam sukan boules.
Penganjuran kursus ini merupakan antara usaha berterusan MSBF untuk memperkukuh pembangunan kejurulatihan di peringkat akar umbi, di samping melahirkan lebih ramai jurulatih yang kompeten, berpengetahuan dan berkemampuan membimbing atlet ke arah pencapaian yang lebih cemerlang.
Sepanjang empat hari kursus, para peserta telah mengikuti sesi pembelajaran teori dan praktikal yang merangkumi aspek asas kejurulatihan, pemahaman teknik dan kemahiran permainan serta aplikasi ilmu kejurulatihan dalam situasi sebenar. Sesi praktikal turut memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari melalui latihan di gelanggang pétanque.
Pada hari terakhir kursus, para peserta telah menduduki ujian selama dua jam sebagai sebahagian daripada proses penilaian terhadap pemahaman dan penguasaan ilmu yang telah dipelajari sepanjang kursus berlangsung.
Kursus ini diakhiri dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Penyertaan kepada para peserta dan penceramah yang telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohamad Noor Abdul Rahim, Pengerusi Persekutuan Sukan Boules Malaysia.
Dalam usaha memperkasakan pembangunan sukan boules negara, penguasaan ilmu kejurulatihan merupakan elemen penting bagi memastikan atlet menerima bimbingan yang berkualiti, sistematik dan berkesan. Justeru, kursus seumpama ini diharapkan dapat menjadi platform untuk meningkatkan profesionalisme jurulatih serta memperluas penyertaan dan pembangunan sukan boules di seluruh negara.
MSBF merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penceramah, peserta, urus setia dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Kursus Kejurulatihan Tahap 1 Siri 3/2026.
Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua peserta dalam melahirkan generasi atlet yang berdisiplin, berdaya saing dan berprestasi tinggi, sekali gus menyumbang kepada kemajuan serta kecemerlangan sukan boules Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MSBF)










