Sabah kuasai petanque SUKMA, bakat muda negeri yang lain turut menyerlah
Sabah muncul kontinjen paling menyerlah dalam saingan petanque SUKMA Selangor apabila membolot empat daripada tujuh pingat emas yang ditawarkan.

Namun di sebalik penguasaan Sabah, satu lagi perkembangan yang cukup menggembirakan buat Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF) ialah kejayaan 11 daripada 14 kontinjen yang bertanding meraih sekurang-kurangnya satu pingat.
Sabah menamatkan saingan di tangga teratas dengan empat emas dan satu perak, manakala Sarawak muncul kontinjen kedua terbaik dengan satu emas, satu perak dan satu gangsa. Melaka dan tuan rumah Selangor masing-masing turut meraih satu emas.
Johor membawa pulang dua perak, manakala Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu turut mempunyai wakil di podium.
Dengan saingan petanque SUKMA dikhususkan kepada pemain Bawah 21 Tahun, Presiden MBSF, Cheah Ban Cheng, melihat taburan pingat yang meluas itu sebagai petanda positif terhadap perkembangan bakat muda di peringkat negeri.
“Apabila 11 daripada 14 kontinjen berjaya memenangi pingat, ia satu petanda yang sangat baik buat perkembangan petanque negara,” kata Cheah.
“Di peringkat Bawah 21 Tahun, kita mahu melihat bakat muncul dari sebanyak mungkin negeri. SUKMA memberi mereka pentas untuk menguji kemampuan dalam suasana pertandingan yang kompetitif, selain membolehkan MBSF menilai hasil program pembangunan yang dijalankan di peringkat negeri.”
Sabah mendominasi acara beregu dan bertiga dengan meraih empat daripada lima emas yang dipertandingkan menerusi beregu wanita, beregu campuran, bertiga lelaki dan bertiga wanita.
Leeyana Fitrialesya Kamrudin muncul pemain paling berjaya dalam saingan petanque kali ini apabila menjadi satu-satunya peserta yang meraih dua pingat emas.
Dia bergandingan dengan Nurul Aina Ali Asmat untuk menewaskan pasangan Pulau Pinang, Anis Sofea Saiful Rizal-Nur Irdina Qaireen Mohd Firdaus 13-6 dalam final beregu wanita.
Leeyana kemudian melengkapkan emas keduanya bersama Putri Ara Aryanna Abdullah dan Thadis Henhera Vennice dalam acara bertiga wanita selepas Sabah A menewaskan Sabah B yang dibarisi Nurul Aina, Siti Noor Ellyshatul Balqish dan Siti Nur Vivianah Chia 13-1 dalam final sesama sendiri.
Sabah turut menang dengan keputusan sama dalam final bertiga lelaki apabila Ainol Shahramadhan Abu Bakar, Muhamad Saidi Sajikil @ Abbas dan Muhammad Fariz Ahmad Nor Abdullah menundukkan trio Pahang, Mohamad Aidil Adha Abd Rahman, Muhammad Haikal Abd Rahman dan Muhammad Harith Muhaimin Hafaizul 13-1.
Emas keempat Sabah hadir menerusi gandingan Maxivianna Robert dan Ryorie Ethan Augustine yang menewaskan pasangan Sarawak, Qurratu Aini Mohamad Morly-Muhammad Aiman Hazwan Abdul Kadir 11-5 dalam final beregu campuran.
Sarawak pula menghalang Sabah daripada menyapu bersih semua acara beregu dan bertiga apabila Muhamad Irfan Syazani dan Watziq Zulfiqrie Dahl menewaskan pasangan Johor, Mohammad Afi Najmi Mohammad-Muhammad Aidil Akmal Yahya 12-7 untuk merangkul emas beregu lelaki.
Dua gelaran perseorangan menjadi milik Melaka dan Selangor.
Wakil Melaka, Saidatul Ummairah Md Dani, menewaskan Carmila Nadhirah Mohd Noor dari Perak 13-9 untuk meraih emas perseorangan wanita, manakala Muhammad Rafieq Abd Rahim menghadiahkan emas kepada Selangor selepas menundukkan wakil Johor, Ammar Zakwan Zanizam 13-3 dalam final perseorangan lelaki.
Cheah berkata SUKMA bukan sekadar medan memburu pingat, malah memainkan peranan penting dalam usaha MBSF mengenal pasti pemain muda yang berpotensi untuk terus digilap ke peringkat lebih tinggi.
“Pingat sememangnya penting, tetapi pada masa sama kita mahu melihat siapa antara pemain muda ini yang mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh,” katanya.
“Mereka masih dalam proses pembangunan dan masih banyak ruang untuk meningkat. Sebab itu penting untuk negeri-negeri terus melahirkan pemain, memberi mereka pendedahan pertandingan dan menyediakan ruang untuk mereka berkembang.
“Daripada pentas seperti SUKMA, kita boleh mengenal pasti pemain yang mempunyai kualiti untuk diketengahkan ke program pembangunan di peringkat kebangsaan.”
Kedah muncul kontinjen dengan pungutan gangsa terbanyak apabila meraih tiga pingat menerusi Muhammad Fahmi Mohd Bakri-Muhammad Rafiq Aqil Rawandi dalam beregu lelaki, Nur Aida Adriyana Mohd Yusri-Nurliana Syamira Mohd Sazli dalam beregu wanita serta Nur Aida Adriyana-Nur Nadirah Muhammad Yaziid-Nurliana Syamira Mohd Sazli dalam acara bertiga wanita.
Pingat gangsa lain dimenangi wakil Sarawak, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom dalam perseorangan lelaki; Nur Farisha Nabila Mohd Zain dari Kelantan dalam perseorangan wanita; pasangan Perak, Nurul Aina Ashikin Abd Rahman-Mohamad Yusman Haizad Mohamad Yusof dalam beregu campuran; serta trio Terengganu, Mohamad Syamsul Bahri Ahmad Sukimi, Muhammad Abdul Hamim Amani Abdul Halim dan Muhammad Danish Mohd Norhisham dalam acara bertiga lelaki.

























